Wednesday, November 1, 2023

 Cerita 5

Hari ini telah masuk minggu kedua aku berada di dalam maktab perguruan. Minggu orientasi telah hampir ke penghujung. Bermaksud telah hampir empat belas hari berlalu dengan rencam yang banyak meninggalkan kenangan untuk dibuat cerita. Semua kisah ketika berada di minggu orientasi hanyalah asam garam kehidupan. Sekiranya minggu orientasi itu berlaku pada waktu dan ketika tahun 2023 ini, aku pasti, ramai yang berhenti dari meneruskan hajat untuk menjadi seorang guru.

Bagi aku pula, minggu orientasi yang aku lalui banyak memberi kesan yang membuatkan aku banyak berfikir tentang siapa aku sebenarnya. Kalau dahulu, aku mampu hidup dengan kawan-kawan sekampung, tetapi kini aku duduk berjauhan. Untuk aku menghubungi kawan-kawan di kampung bukanlah perkara yang mudah.

Dahulu, tidak ada telefon bimbit. Apa yang ada ketika itu hanyalah telefon awam yang penggunanya amat ramai. Kena beratur panjang. Kalau hendak mengutus surat, ambil masa seminggu lebih baru tiba ke kampung. Pasti tidak akan dapat balasan sekiranya aku tulis surat kepada kawan-kawan aku untuk aku ceritakan apa yang berlaku.

Pernah suatu ketika itu, aku utuskan surat kepada kawan aku untuk pinjam duit. Sampai cuti penggal maktab, aku balik kampung, barulah kawan aku beri aku duit yang aku minta untuk pinjam. Lepas itu, sebelum aku balik semula maktab, kawan aku minta balik duit yang aku pinjam. Serupa tidak beri aku meminjam duit dia. Tetapi, itulah kenangan dalam kehidupan.

Abah pula selalu bising semasa aku berada di maktab perguruan. Tidak pernah telefon dan susah sangat untuk menghubungi aku. Sampai abah pernah menempelak aku tidak pernah ada rasa rindu dan ingatkan keluarga, semasa aku belajar di maktab.

Sebenarnya, emak pernah berkata kepada aku.

“Nanti engkau duduk jauh-jauh dari emak, emak bacakan ayat supaya engkau sentiasa ingatkan emak. Nanti engkau nangis-nangis ingatkan emak,” kata emak aku. Emak cuba menakut-nakutkan aku. Lepas itu aku tanyakan kepada emak.

“Eh, nanti kalau nangis kena balik ye?” tanya aku kepada emak.

“Tentulah.” kata emak

“Nanti kalau balik kampung selalu, abah kena tampung duit belanja tambang bas. Kan dah kena tambah duit untuk anak-anak mak.” aku cuba ambil simpati. Kononnya, untuk bermesra dengan emak aku. Emak terdiam sekejap. Berfikir agaknya. Aku menanti juga jawapan dari emak yang membuatkan aku lebih ada kekuatan untuk selalu balik kampung. Tetapi, emak menjawab.

“Errrmmmmm. Tapi ada ayat ni kalau engkau baca boleh buat hilang semua rasa rindu dan ingatan pada emak dan keluarga”

“Ehh, pulak dah. Tadi bersungguh suruh ingatkan dia lepas tu suruh tak ingat pulak.” aku berkata dalam hati. Untuk meneruskan perbualan aku dengan emak, aku tanyakan lagi.

“Ayat apa tu?” tanya aku. Emak beritahu rahsia amalan beberapa ayat al quran yang perlu diamalkan sekiranya mahukan seseorang itu rindukan kita dan sekiranya mahukan seseorang itu melupakan kita.

Sudah macam cerita Tun Teja dibawa lari oleh Hang Tuah sebagaimana di dalam teks sastera lama. Kisah bagaimana Hang Tuah mengurat Tun Teja sehinggakan sanggup melarikan Tun Teja yang sudah bertunang demi memujuk Sultan Melaka yang merajuk kepada Hang Tuah.

Makanya, aku pun amalkanlah ayat yang emak beri kepada aku supaya aku tidak mengingati sangat emak dan keluarga. Macam betul pula sebab aku tidak ada keinginan dan rasa apa-apa pun untuk mengingati emak dan keluarga aku di kampung.

Pernah suatu ketika, aku tidak balik pun ketika hari raya aidil fitri. Aku menemankan kawan yang baru aku kenali yang berasal dari Sarawak. Terasa ingin hendak merasa berhari raya di tempat orang lain.

Entahlah, ketika itu aku berperasaan macamana. Cuma yang aku ingat, aku bangun paginya di Hari Raya Aidil Fitri, aku dan kawan aku duduk di bilik membasuh untuk membasuh baju. Aku tutup semua pintu dan berus baju aku sekuat-kuatnya. Mungkin untuk menghilangkan rasa sedih sebab tidak balik kampung ketika hari raya. Sehingga selesai membasuh dan menyidai baju, telah hampir tengah hari baru siap. Kemudian aku dan kawan aku duduk di dalam bilik untuk tidur. Hanya berehat dan bersantai sahaja di dalam bilik itu.

Pada sebelah malamnya, aku berhasrat untuk ke rumah kawan sekelas aku di Dungun. Aku pergi ke sana dengan menaiki bas sambung-sambung. Bas yang terakhir adalah pada pukul 8.00 malam. Sampai di sebuah pekan menghala ke Dungun, ada sekatan lalu-lintas oleh pihak polis. Ada pegawai polis naik ke atas bas untuk membuat pemeriksaan dan pengecaman. Aku tidak terkecuali dibuat pemeriksaan dan pengecaman.

Pegawai polis itu meminta aku menunjukkan kad pengenalan. Aku baru teringat kad pengenalan aku telah rosak. Kad pengenalan pada ketika itu diperbuat dari getah dan gambar yang ada di dalam sekiranya terendam lama di dalam air ketika membasuh akan menyebabkannya kembang. Gambar di dalam kad pengenalan itu akan luntur dan kabur. Pegawai polis itu meminta aku turun untuk pemeriksaan lebih lanjut. Aku beritahu aku bukan penduduk tetap negeri Terengganu tetapi pelajar maktab perguruan. Aku juga beritahu aku tidak mengetahui sangat jalan-jalan dan keadaan di negeri Terengganu.

Tanpa ada penyelesaian luar, aku pun ikutkan sahajalah. Selepas aku turun, bas pun meneruskan perjalanannya. Aku terpinga-pinga kerana aku tidak tahu aku berada di mana, cuma setelah bertanya, barulah pegawai polis itu beritahu aku berada di pekan Marang. Setelah berpuas hati bahawa aku bukanlah orang yang dikehendaki, aku dilepaskan. Aku nyatakan aku tidak tahu selok-belok jalan-jalan yang ada di Terengganu. Aku kena tunggu pegawai polis yang melakukan pemeriksaan di sekatan lalu-lintas itu selesaikan tugasnya kerana mereka berjanji untuk menghantar aku semula ke maktab perguruan aku. Sehinggalah tengah malam barulah aku dapat berada di depan pintu masuk maktab aku dan pegawai polis itu bersungguh-sungguh meminta maaf atas kesulitan yang aku lalui.

Sunday, September 17, 2023

 Cerita 4


Buat kesekian kalinya, aku menempuh hari-hari berlalu di maktab perguruan. Hendak aku katakan sebagai sesuatu yang menyeronokkan, aku sendiri tidak pasti, cuma tekad aku mahu menjadi seorang guru tidak pernah berubah.


    Aku aku
i, aku membesar dalam keadaan yang aku ini tidaklah baik sangat. Kenakalan dan kedegilan aku memang tidak pernah menang tangan dalam kelakuan aku. Aku akan melakukan apa sahaja mengikut kehendak aku dan mungkin tidak akan terfikir oleh ahli keluarga aku yang lain terutama abah dan emak aku.


    Pernah suatu ketika dahulu, aku sedang bersekolah rendah di dalam darjah 4. Aku di antara murid pandai. (masuk bakul angkat sendiri). Di dalam kelas aku terdapat empat puluh enam orang murid yang pelbagai bangsa. Ramai dan macam-macam perangai. Semua murid di dalam kelas ini berada di dalam kategori murid bijaksana.


    Aku tidak kisah, murid pandai ke atau murid tidak pandai ke, yang penting, aku lebih suka sekiranya dapat bersaing secara sihat. Aku tidak mahu ada dalam kalangan kawan-kawan di dalam kelas aku yang mengamalkan sifat pengkhianatan. Pada pandangan aku, sesiapa yang tidak pandai tetapi melakukan perlakuan khianat ketika peperiksaan kerana mahu mendapat pujian, maka orang seperti ini lebih baik dijauhi. Tidak akan ada istilah kawan untuk aku buat mereka yang memiliki sifat seperti ini.


    Makanya, setiap penggal persekolahan, murid-murid akan dinilai melalui peperiksaan. Aku dapat merasakan bahang peperiksaan melalui perbualan kawan-kawan. Kawan-kawan aku semuanya sibuk membuat persediaan untuk merangkul tempat pertama hingga ke-tiga. Tiga nombor keramat untuk direbut. Macam berjudi pula, berebut first prize, second prize dan sebagainya. Aku juga tidak ketinggalan.

  
    Cuma kali ini aku mahu mencuba sesuatu yang lain dari yang lain. Aku mengatur strategi yang pastinya seorang pun tidak akan terfikir. Mungkin suatu masa nanti, orang akan menganggap aku sebagai seorang murid yang tidak memiliki otak yang waras, tetapi aku juga sebagai manusia akan cuba berusaha untuk mencapai matlamat. Ketekunan kawan-kawan aku membuat ulang kaji sebelum peperiksaan bermula membuatkan aku terfikir, betapa akal itu diberi untuk dipergunakan demi memperolehi pujian. Sebolehnya, aku tidak mahu akal aku dipergunakan sebegitu. Bak kata pepatah aku sendiri, biar berotak di kepala jangan berotak di lutut.


    Ketika peperiksaan penggal berlangsung, aku menjawab dengan tenang. Soalan yang diberi amat mudah untuk aku jawab. Senyuman aku meleret-leret kerana aku yakin aku akan dapat menjawab dengan baik. Sesekali aku melihat kawan di sebelah aku berkerut-kerut dahinya berfikir untuk menjawab soalan peperiksaan. Semuanya tekun semasa menjawab soalan peperiksaan. Begitu juga aku, tapi aku yakin kawan-kawan aku tidak tahu strategi aku. Di dalam hati aku berkata-kata.


    “Apalah soalan ni. Senang sangat. Setakat soalan sebegini, aku boleh jawab sekejap jee,” bisik aku di dalam hati.


    Habis waktu peperiksaan, kawan-kawan heboh bercerita. Semua berkata soalan yang diberi senang. Mereka sangat yakin akan memperolehi tempat terbaik. Aku senyum sahaja sebab aku yakin, aku juga akan berjaya dengan rancangan aku sebelum peperiksaan


    Seminggu setelah habis peperiksaan, cikgu mengumpulkan semua murid untuk memberitahu keputusan peperiksaan. Aku lihat kawan-kawan aku berdebar-debar dan ada yang menjeling ke arah aku. Keputusan belum diumumkan lagi tetapi kawan-kawan aku asyik menjeling ke arah aku. Mesti berasa cemburu dengan pencapaian aku kerana cikgu sentiasa menyebut nama aku.


    Seorang demi seorang nama murid disebut oleh guru. Bersoraklah kawan-kawan aku setelah mendapat keputusan peperiksaan mereka. Rancangan aku telah berjaya.


    “Sulaiman! Awak telah mendapat nombor 46. Kedudukan yang terakhir di dalam kelas,” cikgu aku membuat pengumuman.


    Kini giliran aku pula bersorak. Aku telah memperolehi kedudukkan 46/46. (46 nombor bertuah dalam hidup aku) Maksudnya, aku mendapat keputusan terakhir dalam kelas. Puas rasa hati aku kerana aku teringin sangat hendak merasa memperolehi keputusan di kedudukkan yang terakhir dalam kelas. Selama ini aku berebut-rebut untuk mendapat tempat pertama hingga ke-tiga terbaik. Sekali ini, aku merancang memperolehi tempat terakhir.


    Semasa program Hari Terbuka Sekolah, abah datang untuk mengambil buku pelaporan murid. Ketika itu barulah aku tersentap. Mata abah melihat aku dengan penuh seribu satu makna. Tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata betapa aku menyesal. Aku telah membuat abah berasa malu dengan pencapaian aku. Kesal aku pada abah tidak terjawab sehingga abah telah tiada. Cuma yang dapat aku buat, simpan sahaja kenangan pada renungan mata abah yang sentiasa buat aku menangis di dalam hati. Barulah aku dapat merasa kesal dan mengetahui bahawa perasaan kesal itu sangat menyakitkan. Andai boleh diundur waktu berlalu, akan aku pastikan, tiada penyesalan walau sebesar kuman pun untuk aku tangisi. Namun aku kena terima hakikat bahawa inilah diri aku yang sebenarnya.


    Kembali semula kisah aku semasa di maktab perguruan, aku mengambil kursus Pendidikan Sekolah Rendah : Pengajian Melayu (PSRPM). Aku suka dengan kursus ini kerana kena dengan jiwa aku. Bidang bahasa merupakan jiwa aku. Bagi aku, bidang bahasa ada kaitan dengan bidang kesusasteraan. Minat aku pada bahasa terutamanya bidang kesusasteraan memang tidak dinafikan oleh aku sendiri tetapi pada pandangan orang lain, bidang ini tidak sesuai dengan diri aku. Perwatakan aku yang ganas dan keras membuatkan aku ditanggapi sebagai tidak layak untuk berada di bidang bahasa. Apatah lagi, dengan pandangan pertama perkenalan aku di maktab perguruan ini, aku telah dikenali sebagai guru pelatih yang tidak tahu menghormati orang lain. Maka, berterusanlah aku menghadapinya sehingga akhirnya aku telah dapat menerima kenyataan bahawa aku ini tidak ada apa-apa kelebihan pun untuk aku perjuangkan selama kehidupan ini.


    Aku tidak pernah diberi ruang dan peluang untuk mengasah bakat aku dalam bidang bahasa ini. Aku juga tidak pernah dapat bimbingan dan dorongan untuk aku menceburkan diri dalam bidang ini. Sehingga sampai ketahap aku terlupa minat dan jiwa aku itu berada di mana.


    Apa yang berlaku ketika itu, aku sering bersandarkan kepada bidang sukan. Disebabkan kecergasan dan aktifnya aku sebagai guru pelatih muda, aku lebih cenderung untuk aktif dalam bidang sukan. Walaupun bagi aku kenyataan ini amat pahit, namun aku perlu mencorakkan sendiri diri aku bukan mengikut acuan aku. Mungkin suatu masa nanti, andai diberi keizinan umur yang panjang, aku akan berada di dalam laluan yang menjadi impian aku.


    Malah, aku tidak akan lupa semasa peperiksaan SPM yang aku lalui suatu ketika dulu. Kertas Kesusasteraan Melayu merupakan kejayaan aku yang paling cemerlang. Aku memperolehi gred A1 dalam kertas Kesusasteraan Melayu. Aku menjawab kertas Kesusasteraan Melayu pada ketika SPM itu dengan huraian yang paling lengkap kerana aku tahu siapa aku sebenarnya. Walaupun pada ketika itu aku seringkali dianggap bukan sebagai pelajar yang cemerlang tetapi aku sentiasa ada impian dan harapan yang akan aku gubah sendiri andai diberi keizinan suatu masa nanti. Tidak ada sesiapapun yang memandang dan mengetahui keputusan aku itu. Apapun, yang penting, aku memperolehi keputusan cemerlang dalam kertas yang amat aku minati. Sebenarnya aku juga tidak mengharapkan apa-apapun kerana aku lebih dikenali dengan imej nakal aku. Kadang-kadang aku rasa sedih juga kerana tidak dapat membuatkan abah merasa bangga terhadap diri aku. Abah lebih mengenali kenakalan aku semenjak kecil sehinggalah bersekolah.


    Pernah suatu ketika sewaktu aku berada di dalam tingkatan 4, kenakalan aku sudah hampir kepada kemuncaknya. (belum sampai kemuncak lagi) Aku berusaha untuk membela rambut panjang. Pengaruh rock kapak sangat memainkan peranannya. Untuk membela rambut yang panjang memang perlukan kekuatan jiwa lahir dan batin. Kalau tidak, baru rambut tutup telinga sedikit sudah takut kena tindakan disiplin. Maka episod berambut panjang menjadi kegiatan rasmi aku semasa bersekolah.


    Pada suatu ketika, di sekolah diadakan pemeriksaan mengejut untuk mengawal disiplin pelajarnya. Kebiasaannya, pemeriksaan dilakukan setiap bulan untuk memastikan disiplin pelajar berada pada tahap yang baik.
Rambut aku panjang. Pastinya kena gunting dengan guru disiplin. Aku cari idea untuk melepaskan diri. Terus aku ke surau sekolah.


    Di surau itu ada dua bahagian. Sebahagian untuk lelaki dan sebahagian untuk perempuan. Aku masuk ke bahagian perempuan. Aku pakai telekung dan duduk dalam keadaan orang tahiyat akhir. Jenuh juga. Lama  jugalah aku duduk sebegitu. Naik lenguh juga aku berada di dalam begitu. Tetapi, hendak lepaskan diri, aku kena buat juga.  


    Tidak lama kemudian, aku dengar ada orang buka pintu surau. Aku pasti, itu pengawas sekolah yang diarahkan untuk membuat pemeriksaan sekiranya ada pelajar yang cuba lari.


    Aku dengar perbualan mereka. “Shhhhh, jangan bising. Ada orang tengah solatlah. Kita tak boleh kacau. Cikgu kata berdosa kacau orang tengah solat.”  Lepas itu, mereka pun pergi. Selamat aku kali ini. Balik rumah hari itu, aku potong rambut.


    Aku cuma menganggap kenakalan aku hanyalah sebagai hiburan dan sebagai tanda untuk aku jadikan kenangan suatu masa nanti setelah meninggalkan alam persekolahan. Sehinggakan, sampai satu tahap, pengetua sekolah lama aku pernah menengking aku.


    “Sulaiman, kalau pelajar macam awak ni tidak berada di dalam sekolah ni, confirm sekolah ini selamat.” kata-kata yang sentiasa terngiang di tepi kelopak telinga aku.


    “Agaknya selama ini aku menyebabkan sekolah aku tidak selamat,” aku berbisik sendiri ketika itu.


    Memang aku akui kenakalan aku di sekolah sangat mencabar guru-guru untuk mengendalikan aku, tetapi sekurang-kurangnya aku akan sentiasa ingat dan bersedia setelah aku berkhidmat sebagai seorang guru. Aku telah sedia maklum akan keadaan dan kenakalan pelajar. Mereka tidak boleh menipu aku kerana aku juga pernah melalui alam kenakalan sewaktu remaja. Segala tindak-tanduk pelajar yang nakal telah dapat aku hidu dan aku selangkah di hadapan setiap kali berlaku isu di sekolah.
 

 

 

 

 

 

 

Thursday, September 7, 2023

 Cerita 3

 

Berbalik kepada cerita aku semasa pendaftaran di maktab perguruan tersebut di Kuala Terengganu. Teramat sibuk kelihatannya pelajar baru mendaftar berserta keluarga. Tidak ketinggalan guru pelatih lama yang ditugaskan menguruskan pendaftaran pelajar baru.


    Abah dan emak cuma menghantar aku sampai pintu pagar maktab sahaja. Aku tidak benarkan abah dan emak masuk. Nampak sangat macam anak abah dan emak pula, sebab itu aku tidak mahu abah dan emak sibuk-sibuk sewaktu pendaftaran. Abah masih lagi memerhatikan aku kerana masih tidak mempercayai aku lagi. Aku mengerling abah sekejap. Nampak abah sedang duduk bersembang dengan beberapa orang guru pelatih di warong depan pintu masuk maktab.


    Berebut-rebut pelajar baru mahu mendaftar macam takut tidak cukup tempat. Aku masih beratur. Ketika itu, kalau ada yang berebut aku berikan peluang untuk memotong barisan aku. Malas hendak kecoh-kecoh. Bagi aku, nama telah terdaftar, buat apa hendak berebut rebut. Cuma hari pendaftaran adalah hari untuk aku mengesahkan bahawa aku setuju belajar di situ.


Setelah selesai mendaftar, aku keluar untuk berjumpa semula abah dan emak. Bukan main lagi abah dan beberapa orang guru pelatih yang ada di warong itu bersembang. Abah perkenalkan aku kepada mereka. Seorang demi seorang aku bersalam dan lihat muka mereka. Dalam hati aku berkata,


    “Poyo lah semua. Ni kejap lagi mereka nilah yang akan dera aku semasa bermulanya minggu orientasi”, bisik aku sendirian.


Aku lambai abah dan emak yang sudah bersedia untuk berangkat balik. Beg pakaian dan beberapa peralatan lagi aku bawa masuk ke kawasan asrama. Jauh juga kena berjalan. Maka menapaklah aku bersama beberapa orang lagi pelajar yang sama-sama akan tinggal di asrama. Buat pertama kalinya aku akan berada di dalam asrama. Aku tidak pernah merasa suasana tinggal di asrama. Suasana yang sangat baru.


    Setelah itu, aku diminta untuk pergi ke dewan makan. Dewan makan itu berhadapan dengan asrama tempat aku akan menetap nanti. Dalam pergerakkan aku ke asrama, bertemulah aku dengan guru-guru pelatih yang sembang kencang dengan abah aku di warong tadi. Aku sudah menduga, pasti kena sekejap lagi. Biasanya orang yang sembang kencang, perangainya juga kencang hendak mengenakan orang. Aku layan sahaja.


Tiba-tiba nama aku dijerit sekuat- kuatnya. Pada mulanya aku ingatkan nama yang dipanggil itu untuk orang lain yang sama nama dengan nama aku. Rupanya memang dipanggil nama itu untuk aku. Terpinga-pinga aku sebentar.


“Ooooo ni ke orangnya yang kurang ajar yang melawan yang kata ada ilmu silat?” aku disergah tanpa aku tahu apa silap aku.


    “Haduiii. Memang aku ada belajar ilmu persilatan tapi bukanlah untuk menunjuk-nunjuk yang aku ni ada ilmu silat. Kalau aku riak, dah tentu aku tampar sorang-sorang yang jerit nama aku tadi,” getus hatiku.


Seketika itu, aku teringatkan kisah suatu waktu dahulu, aku pernah mencuba untuk menuntut ilmu kebal. Rasanya ilmu itu tidak lekat di tubuh badan aku. Entahlah boleh percaya atau tidak dengan ilmu kebal ini. Aku adalah seorang penunggang motorsikal. Kononnya untuk mengelakkan dari mendapat kecederaan sekiranya berlaku kemalangan, aku terfikir untuk menuntut ilmu kebal. Maka, aku usahakanlah mencari tempat untuk aku menuntut ilmu tersebut dengan seorang lagi kawan baik aku di kampung. Bertemulah aku dengan seorang pawang besar di kampung aku dan menyatakan hajat aku untuk menuntut ilmu kebal.


“Tok, saya datang ni nak minta tolong.” aku beranikan diri bertegur sapa dengan pawang besar itu.


“Tok dah tau hajat engkau. Meh sini naik rumah tok. Tok ajar macamana nak dapat ilmu kebal tu,” kata pawang besar yang aku panggil ‘tok’ tadi.


“Eh, macamana orang tua ni tahu hajat aku plak, mistik ni.” getus hatiku.


Aku pun naiklah dengan kawan aku. Hendak kata takut, adalah juga tetapi jiwa kena kental kerana ada kawan aku di sebelah. Entah-entah, kawan juga sama berfikiran macam aku. Hendak tengok siapa yang paling berani.


“Tok, kita orang nak menuntut ilmu kebal,” aku berkata terus terang tanpa selindung.


“Hahaha, hahahaha, hahaha.” pawang besar itu tertawa panjang.


“Boleh. Tok akan ajar kamu berdua. Tapi ada pengerasnya,” katanya lagi.


“Belum apa-apa dah suruh keras, buatnya dicubanya tetak tangan aku nanti, putus, tak ada tangan aku. Yang pasti, aku bukan cicak, kalau putus boleh tumbuh semula.” aku berkata di dalam hati. Punyalah lurus bendulnya aku ketika itu. Aku bertanya pawang besar itu.


“ Tok, belum belajar ilmu kebal lagi dah suruh keras. Kena belajarlah dulu baru tahu keras atau tak.,”


“Hahahaha.” pawang besar itu tertawa lagi.


“Bukan keras yang itulah. Pengerasnya tu adalah upah. Faham tak, upah.”


“Oooooo, upah. Cakaplah upah, baru saya faham, tok.” balas aku lagi.


“Apa upahnya tok?” aku bertanya lagi.


“Upahnya mudah je. Engkau berdua kena carikan tok bunga kemboja kubur berwarna putih yang belum gugur lagi. Carilah kat mana-mana asalkan bunga kemboja putih yang ada kat kubur,” kata pawang besar itu sambil tunjukkan contoh bunga yang ada di tepi tilamnya.


Peringkat awal, aku beranilah juga. Tertibnya adalah kena berada di tanah perkuburan orang yang baru meninggal dunia. Kena bersabar dan membaca zikir yang diajar sehingga datang dugaan pada tengah malamnya.


Aku dan kawan aku pun bersetujulah untuk meneruskan perancangan. Dalam kepala aku sudah terbayang, sudah ada ilmu kebal bolehlah aku cabar kaki motor berlumba di jalan Muar Segamat dengan ‘skill’ cabut semua brake. Belum apa-apa aku sudah riak.


Maka, bermulalah episod pertapaan aku. Aku dipilih untuk menunggu di tanah kubur yang paling dalam sekali. Kawan aku pula, lebih jauh ke dalam lagi. Kubur itu pemiliknya baru seminggu meninggal. Aku ikatkan badan aku ke batu nisan kubur itu. Ikatan itu kena kuat untuk mengelakkan aku dari lari ketakutan.


Eloklah macam itu. Aku pun mulahlah berzikir seperti yang diajar untuk memenuhi syarat memperolehi ilmu kebal. Tengah khusyuk berzikir, aku dengar bunyi bising dan kelibat orang lari tunggang langgang di sebelah aku. Setelah aku menoleh, aku tengok rupanya kawan aku yang sama-sama mahu menuntut ilmu kebal itu yang lari lintang pukang sambil menjerit-jerit. Aku pun apa lagi, larilah juga tidak cukup tapak kaki.


Lagi laju aku lari kejar kawan aku itu, lagilah laju dia berlari sambil menjerit-jerit. Aku terus lari dengan tidak berani memandang ke belakang. Apa yang aku ingat, aku lari sampai ke rumah aku.


Kebetulan sampai sahaja di rumah, abah tengah tunggu aku sebab risaukan aku tidak balik-balik dari lepas waktu Isya masuk. Terkejut abah tengok aku kelam kabut. Lagi terkejut bila abah tengok di belakang aku ada batu nisan. Sekuat-kuatnya abah menjerit marahkan aku.


“Sulaiman!” jerit abah sekuat-kuat hatinya.


Terkejut aku ketika itu. Kalau abah tidak marah, abah tidak akan jerit nama penuh aku, tetapi kali ini abah jerit dengan memanggil nama penuh aku. Pasti abah memang tengah marah sangat-sangat. Rupa-rupanya, punyalah takut aku masa itu, sampaikan aku lari dengan membawa batu nisan di belakang aku yang aku ikat pada peringkat awal. Terlupa aku bahawa aku telah mengikat badan aku di batu nisan.


Esoknya, aku kembalikan semula batu nisan itu kepada tuannya yang telah meninggal itu di tanah perkuburan tempat aku bertapa. Esoknya juga aku dan kawan aku ke rumah pawang besar yang aku pergi pada malam sebelumnya. Seram atau tidak aku sendiri tidak pasti kerana rumah pawang besar itu tidak ada. Kelihatannya hanyalah hutan belukar yang penuh dengan pokok kemboja kubur berwarna putih.


Manakala ilmu kebal yang aku aku tuntut itu, entah menjadi atau tidak, aku sendiri tidak pasti. Cuma, suatu ketika, aku pernah menunggang motorsikal. Seekor anjing melintas, aku mengelak dan terus melanggar batu penanda jalan. Patah bahu sebelah kiri aku, tetapi satu luka pun tidak ada. Lagi hairan aku bila melihat di sebelah motorsikal aku ada kuntuman kelopak bunga kemboja kubur berwarna puith.


Berbalik semula kisah aku di maktab perguruan tadi. Aku melangkah ke hadapan untuk menunjukkan bahawa nama yang dipanggil itu adalah aku. Ramai-ramai datang melingkungi aku. Masing-masing tunjuk samseng dengan tujuan untuk mengingatkan aku supaya menghormati mereka. Langsung tidak masuk hati aku untuk menghormati orang sebegini.


    “Wah, macam ganas sangat ni”, aku masih lagi bersuara di dalam hati. Sebenarnya aku memang suka dengan situasi macam ini, sebab dapatlah aku peluang mengenali siapa yang boleh aku jadikan kawan atau lawan.


Belum sempat suasana jadi panas, datanglah seseorang yang berpakaian jubah dan berserban. Rasanya guru pelatih juga sebab sebelum ini aku nampak dia di bahagian pendaftaran siang tadi.


    “Ni apa hal ni?” kata dia.


    “Ni hah, gangster dari Johor abang Din,” kata salah seorang yang ada di situ. Kalau tidak silap aku nama dia Kamarudin. Salah seorang Ahli Majlis Pelajar, Biro Agama.


“Jalan mendada, macam nak cari gaduh jee,” tambah seorang lagi.


    Aku perhati sahaja dan aku akan cam seorang demi seorang. Dalam ramai-ramai itu, ada seorang yang akan berkenan sangat untuk aku jadikan seteru. Aku simpan dahulu.


    “Minta maaf, bang. Saya pun tak tahu apa salah saya,” jawab aku spontan.


“Kalau setakat jalan mendada pun dikira satu kesalahan, dah tu nak jalan macamana? Takkan aku nak merangkak plak,” hatiku bermonolog.


“Mungkin di negeri Terengganu kena jalan membongkok, agaknya.” aku masih lagi terpinga-pinga atas teguran cara aku berjalan mendada itu.


“Nama kau siapa?” tanya Kamarudin.


“Sulaiman.” jawabaku ringkas.


“Oooooo, kau dari Johor ye?” tanyanya lagi.


“Ye, bang,” jawabku.


“Dah. Kau balik bilik dan rehat. Esok aku nak jumpa,” kata Kamarudin.


“Yang lain pergi buat kerja masing-masing. Aku tak suka tengok orang kumpul ramai-ramai. Lepas tu nampak macam nak buli pulak,” katanya lagi.


Aku terus bergerak ke asrama dan menuju ke bilik aku. Asrama tempat aku menetap itu biliknya berdua. Bilik aku berada di tingkat 2. Ketika itulah aku diberitahu bahawa kawan sebilik aku ini orang Kedah. Senior aku. Masuk saja bilik, aku tengok tidak ada orang. Aku pun baringlah untuk merehatkan diri.


Aku terlelap sekejap. Sedar-sedar di dalam bilik aku telah ada beberapa orang yang memerhatikan aku. Terkejut juga aku. Semuanya aku tidak kenal. Aku bingkas bangun dan ambil beg galas. Di dalamnya ada sepunjut plastik yang aku letakkan bunga cengkih. Aku memang suka gunakan bunga cengkih untuk aku kemam. Semua yang ada di situ terkejut. Aku ambil bunga cengkih dan kemam sambil melihat sekitar.


“Hoi. Kau makan apa tu.” tegur salah seorang yang berada di dalam bilik.


Sambil itu, ada yang menghampiri aku dan memeriksa apa yang aku masukkan ke dalam mulut aku. Masing-masing mula mengesyaki aku.


“ Bunga cengkih je pun”. getus hatiku.


Rupanya, perlakuan aku diperhati dan disalah anggap dengan mengatakan aku menggunakan bunga cengkih sebab aku mengamalkan ilmu silat batin. Maka, jadilah ceritanya aku ini keballah, gangsterlah dan pelbagai lagi cerita negatif timbul.


Bunga cengkih itu abah aku yang ajar. Jadinya, aku mengamalkan kemam bunga cengkih. Pedas tetapi lebih elok kerana dapat menyegarkan mulut ketika bangun dari tidur. Lagipun, itu petua orang tua-tua dulu, aku cuma ikut dan amalkan sahaja bukan ada apa-apa kaitan dengan ilmu yang bukan-bukan.


    “Kau kemam je bunga cengkih, lebih baik dari kau kunyah gula getah. Taklah kau jadi pengotor dengan gula getah,” aku sentiasa ingat pesanan abah suatu masa dulu.


Esoknya, sewaktu perhimpunan guru-guru pelatih baru, nama aku dipanggil lagi. Kali ini aku diarahkan naik ke atas meja di hadapan ramai guru pelatih. Pada peringkat awalnya, aku terasa malu juga, tetapi aku ambil langkah, layan sahaja. Disebut lagi sekali nama aku dengan menyatakan kesalahan aku yang tidak tahu menghormati orang lain.


Punyalah lama abah dan emak aku mendidik aku supaya beradab, tiba-tiba senang-senang orang mengata aku seorang yang tidak tahu menghormati orang lain. Untuk tidak dituduh lagi sebagai orang yang tidak tahu menghormati orang lain, maka aku ikutkan sahaja arahan supaya berdiri atas meja dengan dipakaikan kalung guru pelatih samseng.


Maka, berdirilah aku di atas meja dengan muka yang terpinga-pinga. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu mencari dan menambah masalah di sebuah tempat yang baru ini. Permulaan yang tidak sempurna aku lalui semasa awal-awal lagi aku berada di maktab perguruan.


Walau apa yang berlaku, aku perlu akur, ini tempat baru dan aku perlu menghadapinya dengan sebaik-baiknya.

Sunday, September 3, 2023

 Cerita 2

 

Bermulalah kehidupan aku sebagai seorang guru pelatih. Seawal pendaftaran aku sebagai seorang guru pelatih di salah sebuah maktab perguruan di Terengganu, banyak perkara membuatkan aku sering terfikir, layakkah aku menjadi seorang guru. Cuma aku pendamkan sahaja sehingalah tiba masanya nanti aku akan berhujah secara panjang lebar untuk menyatakan rasa hati keadaan sebenar yang aku tempuhi.


Untuk kesekian kalinya, aku hanya menurut sahaja demi memastikan aku berada di atas landasan betul menjunjung amanah di bidang pendidikan. Aku melihat sekitarnya, mereka yang hadir untuk mendaftar kelihatannya bersungguh- sungguh dan lebih kurang seusia aku. Usia yang terlalu muda untuk menjadi seorang guru.


Wajah kesungguhan pun ada, wajah tidak bersungguh pun ada dan wajah acah-acah bagus pun ada. Semua warna-warni pada wajah yang dilihat oleh aku untuk dilalui bersama-sama selama tiga tahun nanti.


Abah dan emak kelihatannya gigih mahu menghantar aku ke tempat pengajian aku dengan memandu kereta. Jauh sungguh perjalanannya kerana abah akan memandu keretanya melalui jalan Muar ke Segamat. Jalan maut kata orang dulu sebab jalan Muar ke Segamat itu dipenuhi dengan selekoh merbahaya.


Manakala, selepas menempuh bandar Segamat, perjalanan akan diteruskan melalui jalan Segamat ke Gambang, Kuantan. Perjalanan ini akan menempuh laluan hutan tebal. Di sekitarnya lebih kelihatan hutan tebal dan deretan pokok kelapa sawit. Di tengah-tengah perjalanan nanti akan ditemui persimpangan Bandar Muadzam Syah. Hanya ini sahajalah pekan di tepi jalan yang ada stesen minyak, selepasnya sudah tidak ada lagi sehinggalah tiba di pekan Gambang. Itupun, kena melalui jalan Gambang ke Kuantan barulah temui bandar besar. Selepas persimpangan Gambang, perjalanan diteruskan lagi melalui jalan bandar Kuantan. Akhirnya nanti, barulah perjalanan itu akan tamat setelah tiba Kuala Terengganu. Laluan menyeramkan dan mencabar.


Hanya orang-orang yang tertentu sahaja yang tahu keadaan perjalanan ini. Namun, aku tidak menyangka, di masa mendatangnya, jalan ini merupakan laluan aku setiap kali aku akan balik kampung untuk melengkapkan waktu bercuti penggal maktab. Aku akan menunggang motorsikal melalui jalan ini scara berseorangan. Kebiasaannya, aku akan melalui pada waktu malam kerana aku suka menempuh perjalanan pada waktu malam. Aku pula, sekiranya menunggang motorsikal, aku tidak suka beramai-ramai. Aku akan menunggang berseorangan kerana bagi aku, menunggang berseorangan memudahkan aku untuk bergerak.


Sekiranya aku menunggang motorsikal untuk balik ke kampung, aku akan berhenti dahulu di persimpangan Gambang ke Segamat. Aku akan menantikan kenderaan seperti lori yang akan melalui jalan itu. Sekiranya kereta, aku tidak berani mengikutinya kerana pemandu kereta kebiasannya akan memecut laju sekiranya melihat ada kenderaan seperti motorsikal mengikuti dari belakang. Lagi aku bawa laju lagi lajulah pemandu itu akan cuba menjarakkan kenderaan mereka dari aku. Berbeza dengan pemandu lori, aku akan mengikuti dari belakang dahulu dan memerhatikan kelajuan di meter motorsikal aku. Setelah aku pasti dapat mengikut kelajuan lori itu, aku akan memotong dan memberikan isyarat untuk menunggang di depannya. Maka, menungganglah aku di hadapan lori dengan suluhan lampunya yang terang benderang. Itulah yang akan aku lakukan setiap kali aku menunggang balik ke kampung. Tidak ada rasa takut dan curiga sekiranya motorsikal aku rosak atau apa-apa yang berlaku. Walaupun sebenarnya, ada juga rasa takut, tetapi aku pendamkan sahaja kerana aku masih berpegang dengan keyakinan bahawa aku berlindung kepada Allah daripada gangguan yang tidak menyenangkan. Bagi diri aku, sebagai seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu, maka, apa yang berlaku adalah jihad. Aku sentiasa yakin dengan semua itu. Terima kasih juga buat pemandu-pemandu lori yang sangat memahami keadaan aku tatkala menunggang.


Begitulah perjalanan kehidupan aku pada peringkat pengajian aku di maktab perguruan. Pernah juga aku terdengar orang bercerita, sekiranya orang buta hendak ke Terengganu dari arah selatan bermula bandar Kuantan, orang buta itu akan mengetahui tempat-tempat yang dilalui berdasarkan keadaan yang ditempuhi sepanjang perjalanannya. Bermulanya perjalanan dari jalan Kuantan, pasti akan bertemu jalan yang penuh dengan lopak-lopak air disebabkan jalannya yang pecah oleh seringnya banjir sehingga terpaksa mengelak semasa memandu. Kenderaan pasti akan ke kiri dan ke kanan. Maka, akan berkatalah orang buta tersebut, tempat ini dikenali sebagai Cherating. Kemudian, akan tiba ke kawasan di mana bas akan berhenti kerana kena mendaki sebuah bukit yang tinggi. Pemandu bas akan berhenti-henti sambil kondukter bas akan turun dan menyendal tayar bas dengan batu besar yang ada di tepi jalan supaya bas tidak akan mengundur. Makanya, orang buta itu akan memberitahu, tempat ini dikenali sebagai Bukit Kijal. Kemudian, perjalanan diteruskan lagi sehingga sampai keadaan kenderaan akan melalui jalan berliku dan banyak selekoh tajam, maka orang buta itu akan berkata iaitu kenderaan telah tiba di Bukit Bauk, Dungun. Seterusnya akan tiba suasana memandu itu membosankan kerana pemanduannya di jalan yang lurus dan tidak ada apa apa di sepanjang perjalanannya, maka orang buta juga akan memberitahu, tempat itu dikenali sebagai jalan Rantau Abang ke Merchang. Sebenarnya, itu adalah sebagai penanda kepada orang-orang yang akan melalui perjalanan ke Kuala Terengganu.


 Semuanya aku telah temui sepanjang perjalanan itu. Kesian pula aku tengok abah dan emak kerana terpaksa menghantar aku. Hendak bantu abah memandu, pasti abah tidak akan benarkan. Abah semenjak aku telah ada lesen memandu, tidak pernah sekalipun abah izinkan aku memandu keretanya.


Ada sebab abah tidak mahu aku memandu keretanya. Ada kisah yang pastinya tidak akan terpadam dalam ingatan abah. Pernah suatu ketika dahulu, abah baru beli kereta. Kereta Opel Kadet. Kereta baru keluar dari kilang.


Aku perhatikan sahaja cara abah memandu keretanya kerana aku mahu cuba memandu sekiranya berpeluang.


Sehinggalah peluang itu tiba. Abah ketiduran pada petangnya selepas solat asar. Aku curi kunci kereta abah. Untuk memandu kereta Opel Kadet, aku perlu tarik gear ke atas dan angkat sikit. Selepas itu kena tolak ke hadapan. Aku tarik dan angkat gear kereta abah kuat-kuat dan ada bunyi patah. Batang gear kereta abah terkulai. Cuma sempat masuk gear mengundur sahaja.


Apalagi, aku terus cabut. Aku ambil basikal dan kayuh laju-laju. Aku pun tidak ingat aku ke mana ketika itu. Di kala malam, barulah aku balik. Abah tunggu aku. Aku kena kejar keliling rumah. Bukan abah sahaja yang kejar aku tetapi abang dan emak aku pun ikut sama kejar aku. Macam kejar ayam yang hendak disembelih sewaktu menanti sambutan raya puasa.


Esoknya, aku tengok abah memandu keretanya untuk dihantar ke bengkel dalam keadaan mengundur sahaja kerana gear kereta yang patah itu telah berada pada gear mengundur. Kesian aku tengok abah tetapi, itulah kenakalan aku yang telah meninggalkan kenangan.


Apapun, aku minta maaf pada abah kerana sentiasa menyusahkannya. Aku sentiasa berazam untuk membelikannya sebuah kereta setelah aku mampu suatu masa nanti tetapi tidak kesempatan. Abah tidak pernah mengizinkan aku berbuat demikian kerana abah tahu keadaan dan kemampuan aku. Apapun, aku tidak pernah lupa akan keinginan aku itu sehingga sampai suatu ketika, impian aku itu tidak kesampaian. Abah telah tiada lagi untuk aku tatap dan tegur, yang ada cuma kenangan sahaja. Mungkin disebabkan itulah, abah tidak sesekali membenarkan aku memandu keretanya sampai bila-bila.


Abah tidak mahu bermalam di Terengganu tetapi pergi untuk menghantar aku dan selepas itu terus balik semula ke Muar. Maksudnya, abah memandu dengan cara balik hari.


Dalam perjalanan, aku masih ingat lagi ketika itu keadaan masih gelap. Ketika itu, kenderaan abah masih melalui jalan Segamat ke Muadzam Shah.  Gelap dan mengerikan. Aku bercerita kepada emak tentang ‘Big Foot’. Kisah ‘Big Foot’ ini menjadi terkenal sekejap atas penceritaan orang ramai dengan pelbagai versi. Entah betul entah tidak, aku tidak pasti. Kisah orang hutan besar yang makan manusia. Aku sengaja bercerita untuk menakut-nakutkan emak.


Tiba-tiba kereta abah terlanggar sebatang kayu atas jalan. Berdentum kuat bunyinya. Abah berhentikan keretanya tepi jalan. Pasti aku yang akan kena turun tengok. Serta merta aku terus buat-buat tidur. Puas abah panggil aku, tetapi aku buat-buat tidur sambil bunyikan dengkur seolah-olah aku sedang tidur. Sebenarnya aku takut hendak keluar tengok apa yang terjadi. Aku dengar abah membebel, katakan aku cakap besar tapi suruh turun takut. Memanglah aku takut sebab tadi aku baru bercerita tentang ‘Big Foot’. Buatnya ada betul-betul ‘Big Foot’ di hadapan aku, tidak cukup langkah aku kena berlari nanti. Lagipun aku kesiankan emak dan abah nanti ‘Big Foot’ itu terbalikkan kereta abah, aku juga yang susah.

  Cerita 5 Hari ini telah masuk minggu kedua aku berada di dalam maktab perguruan. Minggu orientasi telah hampir ke penghujung. Bermaksud...